21 Ogos 2014
25 Syawal 1435
Khamis
Tanganku ligat memutar throttle tube motorsikal. Memecut laju kearah selatan. Hujan masih turun renyai-renyai. Hari pula makin beransur gelap. Dalam fikiranku hanya mahu cepat sampai ke destinasi. Terkadang melihat kebawah raga. Terdapat buah jambu yang kubeli tadi di RnR sebagai buah tangan. Sedikit ole-ole untuk kak Nisa' sekeluarga apabila tiba di Gombak nanti.
'Setengah jam lagi sampailah', bisikku ke hati sendiri.
Psst..
Ah. Tungganganku makin tidak stabil. Seakan ditarik kiri dan kanan tidak dapat dikawal lagi. Kuberhentikan Lagenda 110Z itu ke sisi lebuhraya PLUS beratapkan flyover untuk berteduh. Kulihat tayar belakangnya kempis. Ya, sudah pancit dan harus ditampal atau ditukar yang baru. Hanya tersisa angin yang ada kutunggang motorsikal itu kehadapan sedikit dan keluar melalui pintu Exit Lebuhraya PLUS.
Mujur ada tempat untuk disinggah. Beberapa tempat Exit PLUS ada disediakan tempat berehat yang agak kecil selepas melalui tol. Aku pon parking di situ dan mula mencari solusi bagaimana untuk aku atasi masalah yang aku hadapi sekarang ni. Terlihat beberapa nombor telefon yang diconteng di tepi halangan jalan yang menawarkan bantuan tukar tayar. Tidak sempat ku menelefon salah satu nombor tersebut, seorang pemuda membawa motorsikal menghampiriku dan berhenti dihadapanku.
'Tayar pancit ke? Meh ikut gi bengkel.' tegur lelaki itu sambil mengajakku ikut bersamanya pergi ke bengkel berdekatan.
Aku menerima pelawaannya dan kami bersama-sama pergi ke bengkel. Lelaki tersebut pergi setelah menghantarku dan aku ucapkan terima kasih padanya. Semoga Allah membalas budi pemuda itu. Pomen bengkel tersebut bawa aku semula ke tempat motosikal ditinggalkan. Setelah membuka tayar belakang yang pancit itu dia bawanya ke bengkel untuk ditampal atau ditukar tiub tayar tersebut.
Gambar yang sempat diambil semasa tayar di bawa ke bengkel untuk ditampal |
Hari semakin senja. Sekejap sahaja lagi akan berkumandang azan maghrib. Aku berehat di pondok kecil yang ada berdekatan dan membawa sedikit air dan kurma untuk dijamah sedikit nanti. Hari ini merupakan hari terakhir aku berpuasa 6 untuk bulan syawal. Semoga Allah terima amalku yang sedikit ini.
Sambil menunggu, terlihat satu buah van berhenti memasuki parking lot dan terdapat 4 orang pemuda yang keluar dari van tersebut. Masing-masing membawa makanan dan singgah di pondok yang sama.
'Assalamualaikum', tegur salah seorang pemuda dari mereka. 'Waalaikumsalam.' jawabku. Kami berdua pon berbual pendek bertanya hal masing-masing. Aku sedikit ajaib dengan setiap tekaannya seperti tahu sahaja destinasi, pekerjaanku, dan perkara lain. Seperti kawan yang akrab. Aku pasti dia bukan orang biasa-biasa.
'Motor rosak ke?' - 'Haah, baru pancit tadi. Tengah tunggu pomen datang bawak tayar.'
'Nak pergi mana?' - 'KL ada orientasi untuk sambung belajar.'
'Biasanya sambung belajar ni orang dari sumber manusia'. - 'Yup, macam tau-tau je saya kerja sumber manusia.'
Azan maghrib tak terdengar lagi. Kami saling bertanya antara satu sama lain jika sudah masuk waktu solat kerana hari seakan sudah gelap. Kami sepakat yakin bahawa maghrib sudah masuk maka masing-masing mengambil air dan makanan untuk berbuka. Aku berbuka dengan sebiji kurma dan sedikit air.
'Puasa juga ke? Nah kurma dan nasi', pelawanya. Aku mengambilnya dan ucapkan terima kasih padanya. Sedikit sahaja dijamahnya dan selebihnya dia berikan padaku. Semoga Allah beri ganjaran padanya memberi makanan pada orang lain untuk berbuka.
Makanan pon sudah habis dimakan. Setelah itu baru pomen tadi datang membawa tayarku dan dipasang semula ke motorsikal. Duit dihulurkan tapi malangnya pomen tersebut tidak membawa duit pecah. Aku terpaksa tanya pada pemuda van tadi jika ada duit untuk ditukar, dia tak mahu tukar tapi memberi terus dan manghalalkannya. Huhu.. Ada lagi manusia baik macam ini lagi kat dunia ni. Walaupun baru berjumpa layanan dia seperti kawan yang akrab.
Masalah tayar pon selesai. Aku harus gerak segera ke Gombak. Sebelum bertolak aku berniat untuk memberi sesuatu pada mereka. Ketika itu hanya terdapat buah jambu yang ada di raga. Aku memberinya pada mereka.
'Nah ambillah buah jambu ni'. kataku. Aku agak terkejut dengan jawapan balasnya, 'Tak pe, ni mesti jambu nak bagi pada kakak kan? Bagi je kat kakak tu ye'. Huhu, tekaan dia selalunya tepat. Dia menolak tapi aku paksa juga untuk ambil buah jambu tersebut dan mereka pon ambil.
Aku beredar dan membawa seribu satu perasaan. Begitu mudah Allah berikan pertolonganNya dengan menghantar orang-orang yang baik ini meskipun aku tak pernah mengenali mereka. Orang yang membawaku ke bengkel dan membayar kos baiki tayar tersebut kalau difikirkan memang tepat pada masa dan tempatnya. Terasa sedikit hampa sebab tidak menanyakan nama dan nombor telefon pemuda tersebut untuk terus berhubung. Huhu.. Alhamdulillah Allah berikan pengalaman berharga ini supaya aku sentiasa untuk cuba membantu manusia lain walaupun aku tidak mengenalinya. Ya, amal itu hanya Allah yang melihatnya dan Dia sahaja yang dapat membalasnya.
Terima kasih sang pemuda..
No comments:
Post a Comment