Pages

Wednesday, August 16, 2017

Kopiah

Kopiah sangat sinonim dengan orang islam. Jika di Malaysia, jika memakainya sahaja dianggap sudah tinggi ilmunya. Apatah lagi jika memakai serban dan jubah rasa semakin tinggi pula makamnya.

Aku? Ya, aku tidak terlepas dari orang yang sentiasa memakainya. Memakainya sudah dianggap biasa kerana sudah diasuh daripada kecil lagi oleh kedua orang tuaku. Memakainya disetiap waktu dan ketika, bukan sahaja ketika solat dan hadir ke majlis ilmu, bahkan bermain bola juga turut memakainya.

Hingga satu ketika, aku berasa kurang selesa. Ramai orang yang anggap aku terlalu alim dan tinggi ilmunya. Jika soalan ditanya terutama soalan berkaitan agama, kebanyakannya tidak mampu aku menjawabnya dengan tepat dan yakin. Bila bergaul pula, terasa seperti ada suatu 'gap' antara aku dan mereka. Terasa jauh pula. Padahal aku orang biasa, sama seperti kamu semua, yang dahagakan ilmu dan sentiasa mencari kebaikan.

Mula menanggalkannya ketika di Matrikulasi dengan niat mahu berdakwah dan mendekati orang yang dianggap biasa2 tu (Yang tak pakai pakaian islamik). Itu hanyalah alasan yang keji sebenarnya. Meninggalkan yang baik dengan mencari-cari alasan supaya dapat meninggalkannya.

Aku hidup tanpa kopiah ketika di matrikulasi, universiti dan ketika bekerja. Hidup seperti orang biasa kononnya padahal mahu bebas. Bebas bergaul dan bebas berbuat apa sahaja. Apa tidaknya, jika memakai kopiah apa yang dirasakan adalah malu ketika mahu membuat kejahatan. Itulah kelebihan memakai kopiah sebenarnya. Terasa segan berbuat keburukan dan ingin sahaja membuat kebaikan. Mulut, mata dan tingkah laku secara automatik dipelihara. Tanpanya terasa bebas mahu buat apa sahaja.

Kemudian aku ditakdirkan sambung belajar. Semasa itu mula memakainya kembali sehingga hari ini dan In syaa Allah hari yang mendatang. Aku memang dapat rasakan perbezaanya. Diri ini akan terpelihara oleh Allah, dan orang lain ketika melihatnya akan teringat pula pada Allah. Secara tak langsung aku menjadi orang yang baik dan orang sekeliling juga menjadi orang yang baik. Sama2 mendapat keabaikan. Tak segan berbuat kebaikan contohnya memberi salam, senyum, tidak menyombong dan sebagainya.

Tapi ketika ini aku tidak selesa bila orang panggil aku ustaz dan syeikh. Rasa panggilan itu tidak sesuai untukku yang rendah ilmunya. Ustaz dan syeikh ini banyak kitab yang dibaca dan ditelaahnya. Pendapat mereka sangat menghampiri ketepatan dengan syariat. Aku? Tidak seperti mereka. Aku orang biasa dan hanya orang kebanyakan.

Kopiah merupakan medium bagi aku untuk berdakwah sahaja. Dakwah untuk diri untuk terus buat kebaikan dan dakwah pada orang yang melihatnya. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah padaku dan mereka dan terima amal dakwahku yang amat sedikit ini.

Kepada anda yang mahu atau teringin untuk memakai kopiah dalam kehidupannya, teruskanlah niat itu. Bagi yang sudah membiasakan tapi mahu menanggalkannya, fikirlah buruk baiknya. Mahu tanggal tidaklah ada masalah, bukan haram jika melihat rambut lelaki, tapi buatlah pertimbangan yang sewajarnya.

- Kopiah -

No comments:

Post a Comment