Pages

Sunday, October 17, 2010

Ikhlas elemen terpenting dalam melaksanakan ibadah

Allah mencipta manusia bukanlah bertujuan sia-sia sebaliknya manusia disuruh untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah Ta'ala semata-mata. Yang membezakan ibadah itu diterima ataupun tidak ialah terletak pada keikhlasan seseorang hamba itu. Erti kata lain, tnapa sifat ikhlas ini, amalan yang telah dilakukan tidak diterima Allah. Amalan yang sedikit dan ikhlas lebih bermakna daripada amalan yang banyak tetapi tidak ikhlas kerana Allah.


Mengharapkan pujian seseorang adalah salah satu puncanya hilang keikhlasan. Mereka bukan sekadar dapat pujian tersebut malah menempah kemurkaan Allah. Mereka membuat ibadah hanya bertujuan menunjuk-nunjuk pada manusia yang lain. Sebagai contoh, melambat-lambatkan solat sunat dan doa yang terlalu lama di khalayak ramai ketika berada di dalam masjid supaya dianggap seorang yang suka beribadah. Akan tetapi, ketika berseorangan bukan sahaja solat sunat tidak buat, malah solat fardu juga dilakukan secara express.



Sifat ikhlas ini hanya dapat dinilai oleh dirinya dan amalannya ditentukan Allah samaada diterima ataupun tidak. Kita sebagai hamba yang lemah tidak boleh sesekali menghukum seseorang tentang amalannya kerana sifat ikhlas sukar dinilai.


Apabila sifat ikhlas ini tidak diterapkan, akan timbul beberapa sikap negatif. Antaranya sifat riak dan bangga diri. Rasa bangga apabila seseorang memuji akan amalan baik kita. Kedua, rasa diri ini dipaksa tanpa rela. Apabila disuruh sahaja membuat sesuatu, akan rasa berat untuk melakukannya lagi-lagi kalau tidak diberi sesuatu ganjaran.



Keikhlasan penting dalam membina EQ dan integriti seseorang. Tanpa dilihat oleh sesiapa, dia boleh melakukan kerja dengan baik dan amanah kerana sifat ikhlas tadi. Sifat ikhlas ini mestilah bergabung dengan sifat yang dipanggil ihsan. Rasa diri ini sentiasa dilihat olehNya di setiap masa dan ketika, termasuklah tempat kita berada. Allah sentiasa berada bersama melihat tingkah laku kita.


Kesimpulannya, janganlah sesekali mengharapkan pujian dan balasan dari manusia kerana segala amal perbuatan kita hanya dapat dinilai oleh Allah sahaja. Pujian manusia hanya bersifat sementara, sebaliknya pujian Allah bersifat kekal. Mengharap pujian manusia hanya menempah kemurkaan Allah dan pengakhirannya dicela oleh manusia pula.


Akhir kata, carilah kemuliaan dari sisi Allah, kembalilah pada Al-Quran dan Sunnahnya, kerana sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah Al-Quran.

No comments:

Post a Comment