Pages

Tuesday, October 10, 2017

Singkat

21 Ogos 2014
25 Syawal 1435
Khamis

Tanganku ligat memutar throttle tube motorsikal. Memecut laju kearah selatan. Hujan masih turun renyai-renyai. Hari pula makin beransur gelap. Dalam fikiranku hanya mahu cepat sampai ke destinasi. Terkadang melihat kebawah raga. Terdapat buah jambu yang kubeli tadi di RnR sebagai buah tangan. Sedikit ole-ole untuk kak Nisa' sekeluarga apabila tiba di Gombak nanti.

'Setengah jam lagi sampailah', bisikku ke hati sendiri.

Psst.. 

Ah. Tungganganku makin tidak stabil. Seakan ditarik kiri dan kanan tidak dapat dikawal lagi. Kuberhentikan Lagenda 110Z itu ke sisi lebuhraya PLUS beratapkan flyover untuk berteduh. Kulihat tayar belakangnya kempis. Ya, sudah pancit dan harus ditampal atau ditukar yang baru. Hanya tersisa angin yang ada kutunggang motorsikal itu kehadapan sedikit dan keluar melalui pintu Exit Lebuhraya PLUS.

Mujur ada tempat untuk disinggah. Beberapa tempat Exit PLUS ada disediakan tempat berehat yang agak kecil selepas melalui tol. Aku pon parking di situ dan mula mencari solusi bagaimana untuk aku atasi masalah yang aku hadapi sekarang ni. Terlihat beberapa nombor telefon yang diconteng di tepi halangan jalan yang menawarkan bantuan tukar tayar. Tidak sempat ku menelefon salah satu nombor tersebut, seorang pemuda membawa motorsikal menghampiriku dan berhenti dihadapanku.

'Tayar pancit ke? Meh ikut gi bengkel.' tegur lelaki itu sambil mengajakku ikut bersamanya pergi ke bengkel berdekatan.

Aku menerima pelawaannya dan kami bersama-sama pergi ke bengkel. Lelaki tersebut pergi setelah menghantarku dan aku ucapkan terima kasih padanya. Semoga Allah membalas budi pemuda itu. Pomen bengkel tersebut bawa aku semula ke tempat motosikal ditinggalkan. Setelah membuka tayar belakang yang pancit itu dia bawanya ke bengkel untuk ditampal atau ditukar tiub tayar tersebut. 

Gambar yang sempat diambil semasa tayar di bawa ke bengkel untuk ditampal
Hari semakin senja. Sekejap sahaja lagi akan berkumandang azan maghrib. Aku berehat di pondok kecil yang ada berdekatan dan membawa sedikit air dan kurma untuk dijamah sedikit nanti. Hari ini merupakan hari terakhir aku berpuasa 6 untuk bulan syawal. Semoga Allah terima amalku yang sedikit ini. 

Sambil menunggu, terlihat satu buah van berhenti memasuki parking lot dan terdapat 4 orang pemuda yang keluar dari van tersebut. Masing-masing membawa makanan dan singgah di pondok yang sama. 

'Assalamualaikum', tegur salah seorang pemuda dari mereka. 'Waalaikumsalam.' jawabku. Kami berdua pon berbual pendek bertanya hal masing-masing. Aku sedikit ajaib dengan setiap tekaannya seperti tahu sahaja destinasi, pekerjaanku, dan perkara lain. Seperti kawan yang akrab. Aku pasti dia bukan orang biasa-biasa. 

'Motor rosak ke?' - 'Haah, baru pancit tadi. Tengah tunggu pomen datang bawak tayar.'
'Nak pergi mana?' - 'KL ada orientasi untuk sambung belajar.'
'Biasanya sambung belajar ni orang dari sumber manusia'. - 'Yup, macam tau-tau je saya kerja sumber manusia.'

Azan maghrib tak terdengar lagi. Kami saling bertanya antara satu sama lain jika sudah masuk waktu solat kerana hari seakan sudah gelap. Kami sepakat yakin bahawa maghrib sudah masuk maka masing-masing mengambil air dan makanan untuk berbuka. Aku berbuka dengan sebiji kurma dan sedikit air.

'Puasa juga ke? Nah kurma dan nasi', pelawanya. Aku mengambilnya dan ucapkan terima kasih padanya. Sedikit sahaja dijamahnya dan selebihnya dia berikan padaku. Semoga Allah beri ganjaran padanya memberi makanan pada orang lain untuk berbuka. 

Makanan pon sudah habis dimakan. Setelah itu baru pomen tadi datang membawa tayarku dan dipasang semula ke motorsikal. Duit dihulurkan tapi malangnya pomen tersebut tidak membawa duit pecah. Aku terpaksa tanya pada pemuda van tadi jika ada duit untuk ditukar, dia tak mahu tukar tapi memberi terus dan manghalalkannya. Huhu.. Ada lagi manusia baik macam ini lagi kat dunia ni. Walaupun baru berjumpa layanan dia seperti kawan yang akrab. 

Masalah tayar pon selesai. Aku harus gerak segera ke Gombak. Sebelum bertolak aku berniat untuk memberi sesuatu pada mereka. Ketika itu hanya terdapat buah jambu yang ada di raga. Aku memberinya pada mereka.

'Nah ambillah buah jambu ni'. kataku. Aku agak terkejut dengan jawapan balasnya, 'Tak pe, ni mesti jambu nak bagi pada kakak kan? Bagi je kat kakak tu ye'. Huhu, tekaan dia selalunya tepat. Dia menolak tapi aku paksa juga untuk ambil buah jambu tersebut dan mereka pon ambil.

Aku beredar dan membawa seribu satu perasaan. Begitu mudah Allah berikan pertolonganNya dengan menghantar orang-orang yang baik ini meskipun aku tak pernah mengenali mereka. Orang yang membawaku ke bengkel dan membayar kos baiki tayar tersebut kalau difikirkan memang tepat pada masa dan tempatnya. Terasa sedikit hampa sebab tidak menanyakan nama dan nombor telefon pemuda tersebut untuk terus berhubung. Huhu.. Alhamdulillah Allah berikan pengalaman berharga ini supaya aku sentiasa untuk cuba membantu manusia lain walaupun aku tidak mengenalinya. Ya, amal itu hanya Allah yang melihatnya dan Dia sahaja yang dapat membalasnya. 

Terima kasih sang pemuda..


Sunday, September 24, 2017

Matlamat

Bismillahirrahmanirrahim

Kali ni aku nak kongsikan sedikit tentang matlamat hidup kita sebagai seorang muslim. Kebanyakan kita tahu bahawa kita manusia dan jin serta semua mahkluk dicipta bukan kerana bertujuan sia-sia namun untuk beribadat kepada Allah semata-mata seperti yang difirmankan oleh Allah dalam kitab yang suci yakni Al-Quran pada surah Az-Zariat ayat ke 56 yang bermaksud 'Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku'.

Oleh itu kita hendaklah merancang dengan bersungguh-sungguh agar kita termasuk golongan yang beribadah padaNya. Kata cerdik pandai perancangan yang buruk dapat mengalahkan perkara baik yang tiada perancangan dan kata cerdik pandai juga jika anda tidak merancang anda sedang merancang untuk gagal.

Dulu aku pernah kongsi tentang bagaimana mengurus masa untuk aktiviti sehari. Mungkin perkongsian kali ini adalah sambungannya. Boleh cuba baca kat link ni jika belum baca http://mohdzahidzakaria.blogspot.my/2011/09/13-ibadat-13bekerja-13mencari-ilmu-imam.html

Kita harus merancang jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk 4 perkara ini:

1. Kerohanian (Jaga hubungan khusus pada Allah)
2. Ilmu (Jaga akal)
3. Jasmani dan mental (Jaga kesihatan dan ketahanan diri)
4. Muamalah (Jaga hubungan sesama makhluk)

3 perkara awal dapat dikawal oleh kita sendiri manakala perkara 4 tidak dapat dikawal kerana melibatkan orang lain dan alam sekeliling kita. Aku menganggap bahawa perkara yang dapat dikawal lebih mudah dilakuukan berbanding dengan perkara yang kita sukar mengawalnya. Jadi kita boleh fokus dahulu 3 perkara ini terutama sekali ketika kita mahu berubah kepada yang lebih baik.

Huraian dan contoh aktiviti

1. Kerohanian (Jaga hubungan khusus pada Allah)

* Cari ibadah khusus untuk kita sentiasa mendekatkan diri pada Allah

SOLAT
- Tahajud
- Taubat
- Hajat
- Dhuha
- Rawatib (Sebelum dan selepas solat fardu)
- Witir
- Jemaah di masjid 5 waktu

Ma'thurat pagi dan petang
Baca Al-Quran 1 Juz sehari
Zikir Tasbih 33x Tahmid 33x Takbir 33x dan la haulawala kuwataillah billah 1x selepas setiap solat fardu
Istighfar 100x sehari
Doa2 harian seperti doa bangun dan sebelum tidur, pakai pakaian, masuk dan keluar tandas, keluar dan masuk rumah dll..

2. Ilmu (Jaga akal)

* Setiap muslim wajib menuntut ilmu selagi mereka hidup. Sumber ilmu tidak lain tidak bukan adalah daripada Al-Quran dan As-Sunnah kerana 2 perkara ini dijamin oleh Allah tidak akan sesat jika kita berpegang teguh padanya. Masalahnya kita kadang2 tidak mampu untuk memahami isi kandungan kedua sumber ini bukan kerana kelemahan Al-Quran dan Hadis tetapi kelemahan akal kita untuk menafsirkan dan cara memahami. Jadi kita perlukan orang lain yang lebih faham dan faqih untuk dijadikan rujukan kita bagi memahami Al-Quran dan sunnah ini. Ilmu itu dua iaitu Syar'iyyah dan Tsaqafiyyah. Ulama telah membahagikan ilmu syar'iyyah ini kepada 3 iaitu Tauhid (Aqidah yang benar), Feqah (Seperti undang2/ tatatertib suatu ibadah) dan Akhlak/Tasawwuf (Penjagaan hati hanya kerana Allah). Contoh ilmu tsaqafiyyah ini pula ialah seperti sejarah, matematik, bahasa, sains, pengurusan, kemahiran, geografi dan lain2.

Amal ibadah tergantung pada sejauh mana ilmu seseorang itu, Justeru penjagaan akal ini sangat penting untuk memelihara ibadah kita agar apa yang kita lakukan adalah benar disisi Allah bukan andaian kita sahaja. Ilmu yang benar menghasilkan ibadah yang benar. Ilmu Allah sangat luas dan mustahil kita mampu menguasai kesemua ilmu namun kita harus mengumpulnya sebanyak yang kita mampu,

3. Jasmani dan mental (Jaga kesihatan dan ketahanan diri)

* Jasmani dan mental juga perlu diambil perhatian. Setiap muslim wajib memelihara kesihatannya, memiliki tubuh badan yang kuat dan sentiasa bertenaga serta sentiasa fit untuk melakukan segala aktiviti yang dituntut oleh Islam bukan lesu dan lemah. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti menjaga diet pemakanan, sentiasa berjoging dan buat aktiviti di gym. Jaga kesihatan mata telinga tangan dan semua anggota badan kita supaya dapat digunakan di jalan Allah dengan baik. Contohnya sentiasa gosok gigi untuk menjaga gigi dan jaga kebersihan anggota kita yang lain. Kelebihannya nanti kita boleh gunakan kekuatan kita sepeti mengangkat barang yang berat, memanah, menunggang kuda, mempertahankan diri daripada musuh jika perlu, musafir jarak jauh tanpa keletihan, dan boleh buat kerja yang sibuk tetap boleh dilaksanakan dengan baik jika jasmani kita kuat dan sentiasa bertenaga. Mental kita juga harus berlatih agar sentiasa positif dalam mengharungi cabaran fizikal yang kita hadapi.

4, Muamalah (Jaga hubungan sesama makhluk)

* Muamalah ini perkara yang mana melibatkan orang lain atau perkara disekeliling kita. Jadi banyaklah ragamnya dan kita sukar untuk mengawal ragam mereka tidak seperti 3 perkara sebelum ni hanya mengawal disiplin kita sahaja dan tidak melibatkan orang lain.Boleh juga kita katakan muamalah ini adalah penyempurna bagi 3 perkara yang sebelum ini kerana tanpa muamalah dengan orang lain pasti akan ada kekurangan yang timbul. Nak tak nak kita harus bermuamalah dengan orang lain juga.

- Sosial (kekeluargaan, kemasyarakatan, kebajikan, kepimpinan, kenegaraan, jaga hak haiwan dan hak tumbuhan)
- Ekonomi (Penjanaan harta Umat Islam)
- Dakwah (pada orang islam, belum islam, dan Jihad fi sabilillah) - Matlamat yang paling tinggi-



Jadi, keempat2 perkara yang telah dirangkumkan dan disimpulkan adalah matlamat kita di dunia ini (beribadah kepada Allah). Moga2 rumusan yang dibicarakan ini dapat membuka lagi minda kita supaya dapat lebih melangkah jauh dalam beribadah kepada Allah. Kehidupan kita di dunia ini adalah ibarat musafir ke akhirat, maka rancanglah dengan betul supaya sampai ke destinasi yang betul (Syurga) bukan yang sebaliknya (Neraka).

Apa yang penting adalah kita sentiasa beristiqamah dengan apa yang sedang kita lakukan. Walaupun perjalanan masih jauh lagi namun kita tidak berhenti di pertengahan jalan. Tetap berjalan dan perbaiki lubang2 yang ada supaya ia tetap teguh. Mulalah merancang untuk jangka masa pendek dan panjang yang anda rasa sesuai dengan diri anda. Jangan paksa diri, tapi buat perkara yang mampu dan sentiasa istiqamah dan menambah baik amalan kita.

Moga kita dirahmati Allah selalu.

Terima Kasih membaca..

Wednesday, August 16, 2017

Kopiah

Kopiah sangat sinonim dengan orang islam. Jika di Malaysia, jika memakainya sahaja dianggap sudah tinggi ilmunya. Apatah lagi jika memakai serban dan jubah rasa semakin tinggi pula makamnya.

Aku? Ya, aku tidak terlepas dari orang yang sentiasa memakainya. Memakainya sudah dianggap biasa kerana sudah diasuh daripada kecil lagi oleh kedua orang tuaku. Memakainya disetiap waktu dan ketika, bukan sahaja ketika solat dan hadir ke majlis ilmu, bahkan bermain bola juga turut memakainya.

Hingga satu ketika, aku berasa kurang selesa. Ramai orang yang anggap aku terlalu alim dan tinggi ilmunya. Jika soalan ditanya terutama soalan berkaitan agama, kebanyakannya tidak mampu aku menjawabnya dengan tepat dan yakin. Bila bergaul pula, terasa seperti ada suatu 'gap' antara aku dan mereka. Terasa jauh pula. Padahal aku orang biasa, sama seperti kamu semua, yang dahagakan ilmu dan sentiasa mencari kebaikan.

Mula menanggalkannya ketika di Matrikulasi dengan niat mahu berdakwah dan mendekati orang yang dianggap biasa2 tu (Yang tak pakai pakaian islamik). Itu hanyalah alasan yang keji sebenarnya. Meninggalkan yang baik dengan mencari-cari alasan supaya dapat meninggalkannya.

Aku hidup tanpa kopiah ketika di matrikulasi, universiti dan ketika bekerja. Hidup seperti orang biasa kononnya padahal mahu bebas. Bebas bergaul dan bebas berbuat apa sahaja. Apa tidaknya, jika memakai kopiah apa yang dirasakan adalah malu ketika mahu membuat kejahatan. Itulah kelebihan memakai kopiah sebenarnya. Terasa segan berbuat keburukan dan ingin sahaja membuat kebaikan. Mulut, mata dan tingkah laku secara automatik dipelihara. Tanpanya terasa bebas mahu buat apa sahaja.

Kemudian aku ditakdirkan sambung belajar. Semasa itu mula memakainya kembali sehingga hari ini dan In syaa Allah hari yang mendatang. Aku memang dapat rasakan perbezaanya. Diri ini akan terpelihara oleh Allah, dan orang lain ketika melihatnya akan teringat pula pada Allah. Secara tak langsung aku menjadi orang yang baik dan orang sekeliling juga menjadi orang yang baik. Sama2 mendapat keabaikan. Tak segan berbuat kebaikan contohnya memberi salam, senyum, tidak menyombong dan sebagainya.

Tapi ketika ini aku tidak selesa bila orang panggil aku ustaz dan syeikh. Rasa panggilan itu tidak sesuai untukku yang rendah ilmunya. Ustaz dan syeikh ini banyak kitab yang dibaca dan ditelaahnya. Pendapat mereka sangat menghampiri ketepatan dengan syariat. Aku? Tidak seperti mereka. Aku orang biasa dan hanya orang kebanyakan.

Kopiah merupakan medium bagi aku untuk berdakwah sahaja. Dakwah untuk diri untuk terus buat kebaikan dan dakwah pada orang yang melihatnya. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah padaku dan mereka dan terima amal dakwahku yang amat sedikit ini.

Kepada anda yang mahu atau teringin untuk memakai kopiah dalam kehidupannya, teruskanlah niat itu. Bagi yang sudah membiasakan tapi mahu menanggalkannya, fikirlah buruk baiknya. Mahu tanggal tidaklah ada masalah, bukan haram jika melihat rambut lelaki, tapi buatlah pertimbangan yang sewajarnya.

- Kopiah -